08 March 2015

Travelog LaGenius : Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu


Negeri Terengganu adalah destinasi pelancongan pesisir pantai tidak asing lagi buat penduduk diserata tempat samada dalam negara mahupun pelancong asing. Keunikan dan kecantikan negeri Terengganu memang tak dapat disangkal lagi. Negeri Terengganu dikelilingi dengan pantai yang cantik, pasir yang memutih yang dapat memberi ketenangan kepada sesiapa sahaja.

Pantai Batu Buruk memang sudah terkenal sejak dahulu sehinggalah sekarang. Kedudukannya yang berhampiran dengan Bandar Kuala Terengganu memang memudahkan pengunjung untuk berkunjung di pantai ini. Deretan pepohon Rhu sepanjang pantai ini menambahkan lagi keaslian pantai ini. Deruan angin Laut China Selatan yang meniup memberi ketenangan kepada pengunjung.

Hari minggu atau pada hari cuti umum menjadi salah satu tempat yang paling ramai pengunjung untuk berkelah atau beristirehat di Pantai Batu Buruk ini. Deretan kedai atau gerai-gerai menjual makanan di sepanjang pantai membuatkan pengunjung tidak perlu bersusah payah untuk mencari makanan di tempat lain. Penjual layang-layang seakan tidak menang tangan untuk melayan pelanggan yang ingin membeli layang-layang dek kerana angin yang sepoi-sepoi bahasa menggamit keinginan untuk bermain permainan tradisional itu.Kanak-kanak berlari riang sambil bermain pasir dan membuat istana pasir di gigi pantai, membuatkan suasana menjadi begitu indah tatkala beristirehat di pantai ini.






Selain bermain layang-layang, kanak-kanak juga dihidangkan dengan permainan gelongsor, jongkang-jongkit,buai yang pastinya kanak-kanak tidak akan bosan apabila berada di pantai ini. Kepada anda yang gemar menunggang kuda, pastinya anda tidak akan melepaskan peluang yang ada ini. Bayaran kepada dewasa hanya RM 5 manakala kanak-kanak RM 3. Berbaloikan.

Jika anda dari luar negeri Terengganu, anda boleh menginap di hotel-hotel yang berhampiran dengan pantai ini. Antara hotel yang berhampiran ialah Hotel Primula, Sumai Apartment, Hotel Tanjung Vista dan Hotel Park Inn. Jika anda datang ke Negeri Terengganu amatlah rugi andai tidak berkunjung ke Pantai Batu Buruk. Pastinya apabila pulang, anda pasti sentiasa teringat kenangan sepanjang berada di Pantai Batu Buruk yang meninggalkan seribu kenangan manis untuk anda.